Assalammualaikm..Annyeonghaseyo
Holla!
JANGAN MALU UNTUK BERUBAH | “Aku dah tak suci lagi. Aku banyak
dosa. Terlanjur dah dengan beberapa orang lelaki. Zina tu dulu perkara biasa
bagi aku sebab aku couple bukan dengan seorang lelaki je. Tapi sekarang aku
menyesal. Aku rasa aku teruk sangat! Aku nak jadi lebih baik tapi aku malu. Aku
selamanya tak akan jadi baik. Dosa-dosa lalu terus menghantui hidup aku. Aku
rasa diri ini jijik dan teramat kotor,”
“Aku ini nak kata budak jahat, tak adalah jahat sangat cuma
nakal tu adalah sikit-sikit. Itu mungkin kerana terikut perangai kawan-kawan.
Mengusik dan menyakat orang kerja biasa. Tapi sebenarnya jauh di sudut hati
aku, aku nak jadi lebih baik tapi aku malu. Nanti apa yang kawan-kawan aku
kata. Aku dah pernah sekali ajak mereka solat berjemaah dan pergi dengar
ceramah tapi aku dipandang pelik. Aku rasa susah sangat. Aku terhimpit,”
“Aku solat cukup lima waktu sehari. Puasa pun Alhamdulillah. Nak
kata bab tutup aurat, aku lepaslah agaknya. Tapi aku rasa aku ini tak cukup
baik. Bila aku tengok kawan-kawan yang berubah, bila aku tengok kawan-kawan
yang pakai tudung labuh dan berbaju kurung, aku rasa aku ini tak baik. Aku nak
berubah tapi aku malu. Aku rasa susah. Aku rasa tak sanggup nak tinggalkan
dunia cardigan, jeans, shawl dan pashmina,”
Iman itu masih ada.
Tatkala hati terkesan dengan perbuatan dosa yang dilakukan, itu
bukti tandanya iman masih ada. Penyesalan itu salah satu daripada peringkat
taubat.
Fitrah manusia suka akan kebaikan. Sebenarnya melakukan kebaikan
lebih mudah daripada melakukan maksiat. Tak percaya?
Mana lebih senang. Pergi konsert atau pergi masjid? Kalau pergi
konsert, perlu keluarkan duit untuk membeli tiket dan bersesak-sesak dengan
orang ramai. Faedah? Belum tentu. Kalau pergi masjid, langkahan kaki pun sudah
dikira. Tidak perlu keluarkan modal. Malah makin dicintai Allah. Asal niat
betul.
Mana lebih senang. Bersedekah atau mencuri? Kalau bersedekah,
hanya keluarkan duit. Zahirnya berkurang sedangkan hakikatnya semakin meningkat
saham di sana. Kalau mencuri, hati gelisah dan tidak tenteram. Hidup dalam
ketakutan. Tidak bahagia.
Selagi dunia tidak kiamat, selagi itu peluang masih ada.
Kenapa harus memandang dosa yang lalu sedangkan kita masih punya waktu?
Pandangan manusia. Cuba jadi tegas! Manusia kalau kita buat
baik, ada orang tidak suka. Kalau kita buat jahat apatah lagi, mesti ramai juga
yang tidak suka. Jadi, buat hanya apa yang Allah suka walaupun manusia tidak
suka. Pegang prinsip itu! Kerana kita bukan hamba manusia, kita hamba Dia! Ini
bukan marah tetapi tegas dan semangat!.
Cipta masa depan.
Kita selamanya tidak akan pernah tahu apa yang bakal terjadi
pada masa hadapan. Tetapi kita boleh mengubahnya mulai hari sekarang. Apa yang
kita buat hari ini, itulah yang bakal terjadi pada hari esok. Yang penting,
tanya pada diri, jika ingin melakukan kebaikan, di manakah usaha? Begitu juga
dengan soal rezeki dan jodoh.
‘Qada muallaq’ iaitu ketentuan Allah yang tercatat di lauhul
mahfuz dan kita boleh mengubahnya. Tetapi itu semua bergantung kepada sejauh
mana usaha dan doa.
Mari saya datangkan satu analogi. Katakan Ahmad seorang
pelajar yang bermasalah, malas belajar dan menghisap rokok. Tiba suatu ketika,
terdetik penyesalan di hatinya. Dan ketahuilah, saat itu, dia punya dua
peluang. Peluang ke arah kebaikan atau sebaliknya. Terhimpit antara dua lorong.
Lorong pertama, memilih untuk rajin belajar dan meninggalkan
tabiat menghisap rokok. Lorong kedua, masih tetap dengan perangai dan tabiat
lama.
Apakah mungkin jika dia masih berada di lorong kedua, pada masa
hadapan nanti dia bakal menjadi seorang graduan universiti yang punya sahsiah
mulia dan cemerlang? Sudah tentu tidak! Tetapi sebaliknya yang berlaku jika
lorong pertama yang menjadi pilihan.
Ini yang saya maksudkan. Bukan mahu menjadi ahli nujum. Cuma
mengajak untuk bersama membina masa hadapan. Mencipta jalan cerita sendiri.
Kita umpama pelakon di pentas dunia. Kita punya kuasa
untuk mengarah jalan drama sendiri. Dan yang pasti hanya ada dua pilihan yang
terbentang. Satu lorong yang dipilih, akan membawa kepada lorong yang lain.
Jika lorong kebaikan dan perubahan yang dipilih, pasti kesudahannya juga
begitu. Begitu juga sebaliknya. Inilah ‘sunnatullah’.
Buat dirimu…
Sahabatku, usah biarkan keterlanjuranmu menjadi sejarah hitam
yang terus mencalit debu kehitaman walau hingga ketika ini. Itu semua sejarah
dahulu dan ketahuilah hari ini juga bakal menjadi sejarah. Tetapi bezanya
sejarah dahulu itu menjadi suatu pengajaran yang besar buat diri. Dan sejarah
yang bakal ditelusuri ini, ketahuilah, dirimu masih punya waktu. Usah
persiakannya!
Juga buat diri yang rindu akan kebaikan. Apakah saat Allah
mendatangkan penyesalan di hatimu, engkau mahu melepaskan peluang ini? Apakah
pada saat Allah membuka jalan taubat buatmu, engkau memilih untuk semakin
menjauh daripada-Nya walaupun tanpa kerelaan hanya kerana malu dengan manusia
sekeliling? Atau merasa diri itu terlalu kotor dan tidak layak untuk
diampunkan?
Ketahuilah Dia Maha Pengampun. Usah pedulikan pandangan orang
lain, tetapi dongaklah ke atas, dan ketahuilah Dia menunggumu untuk sujud
kepada-Nya bersama air mata taubat seorang hamba!
Motivasi dari kisah…
Saya memahami, berbicara itu mudah tetapi mahu melakukan itu
tidak semudah bicara dan tulisan. Kerana itu perlu kepada kisah-kisah yang
dapat menguatkan hati. Yang bisa meneguhkan keazaman dalam diri untuk menjadi
lebih baik.
Pasti dan sudah tentu pernah mendengar kisah seorang pelacur
perempuan. Yang kiranya dipandang manusia begitu kotor dan jijik pada masa kini
sehingga melahirkan anak di luar perkahwinan yang sah. Walaupun mereka itu kini
telah menyesal dan ingin berubah tetapi tetap dipandang serong. Tiada sokongan
dan semangat yang ditiup tika mereka lemah. Kerana terusan dihantui dosa-dosa
lalu.
Dengarkan kisah ini yang ingin saya putar kembali. Kembali
kepada kisah pelacur perempuan. Yang berzina. Tetapi dimasukkan ke dalam syurga
oleh Allah hanya kerana memberi minum kepada seekor anjing. Tidakkah rahmat
Allah itu luas? Kerana itu berhenti menghukum manusia. Walau kotor pada
pandangan manusia, kita tiada pernah mengetahui apakah pandangan-Nya.
Lihat diri sendiri dan nilai. Diri sendiri juga belum tentu
baik. Diri sendiri juga belum tentu dipandang-Nya. Walaupun kita melakukan
kerja dakwah, walaupun diri itu sentiasa memberi tazkirah, walaupun diri itu
aktif dalam program keagamaan.
Saya suka untuk kembali mengingatkan kepada niat. Lagi sekali,
lihat dan nilai. Itu semua tidak bermakna jika hati terdetik riak dan melakukan
kerana ingin dipandang hebat oleh manusia. Kerana ingin supaya manusia
memandang tinggi. Kerana ingin manusia memandang diri itu bagus, baik, soleh
dan solehah. Tika itu, tanya diri sendiri, di mana niatmu yang kau katakan
kerana Allah?
Lagi saya bawakan kisah yang cukup sering didengari. Kisah
pembunuh yang telah membunuh 99 orang. Lihat usaha dan kehendaknya yang ingin
bertaubat. Pembunuhannya mencukupi 100 orang apabila membunuh seorang alim yang
mengatakan bahawa dia telah tiada harapan.
Namun, tidak pernah cuba untuk berputus asa. Mengikut nasihat
seorang alim yang lain yang mengatakan bahawa perlu penghijrahan ke satu
perkampungan yang suasananya bisa membantunya bertaubat. Namun,di pertengahan
jalan, dia meninggalkan dunia tanpa sempat bertaubat. Tetapi dalam keadaan
sedang usaha bertaubat. Dan dia dimasukkan ke dalam syurga.
Kesimpulan
Kita tidak akan pernah bisa mengubah masa lalu, tetapi kita
masih bisa bertindak mulai sekarang untuk mencipta sejarah baru.
Andai tiada berhenti memikirkan pandangan manusia, langkah kita
tiada ke mana. Mereka tiada untung tetapi kita tetap rugi.
Sentiasa bersangka baik dengan Allah. Apabila jalan hidup kita
begitu dan begini, yakinlah itu yang terbaik. Apabila kita melakukan dosa, Dia
ada memberi keampunan. Saat kita lemah dan terhimpit, Dia ada meniupkan
semangat dan kekuatan.
Allah ada menyebut bahawa Dia bersama sangkaan hamba-Nya. Andai
kita yakin dosa-dosa kita akan diampunkan, Dia dengan rahmat dan sifat Maha
Pengampun-Nya akan mengampunkan dosa hamba-hamba-Nya yang benar-benar ikhlas
dan bersungguh-sungguh.
No comments:
Post a Comment